Film & TV News

Perginya Seorang OBB Mohd Filus Ghazali

Pada pagi 11 April 2020 saya membuka Whatsapp untuk membaca mesej-mesej yang belum dibaca dari awal malam sebelumnya. Mesej yang terawal adalah pesanan dalam group ‘Bantuan Pak Filus’. Saya dimasukkan di dalam group tersebut lebih setahun dahulu, pada waktu itu Filus dikhabarkan sakit kaki disebabkan diabetesnya. Jari kakinya terpaksa dipotong. Puncanya adalah misi bantuan banjir yang dijalankan oleh Team Rescue Bencana Malaysia (TRBM). Kalau anda belum tahu TRBM adalah sebuah badan NGO yang bekerjasama dengan pelbagai badan beruniform di Malaysia seperti Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA) dan juga PDRM. Mereka terwujud gara-gara tragedi banjir besar 2014. Semenjak itu TRBM menjadi pembantu sejati badan-badan ini yang memerlukan kemahiran mereka ataupun kelengkapan terkini yang mereka miliki ataupun sebagai team sokongan. Begitulah obsesi kumpulan penyelamat sukarelawan ini, mereka sanggup bergadai nyawa dan wang ringgit demi membantu mereka yang dilandai bencana tanpa dibayar sesen pun.

Mungkin ramai yang tidak tahu yang salah seorang ‘cinematographer’ tersohor Malaysia yang juga merupakan peneraju ‘Malaysian Society of Cinematographers (MySC) adalah orang kuat TRBM. Beliau telah memegang jawatan sebagai Ketua Sentral Rescue Bencana dan bertanggungjawab untuk keseluruhan kawasan sentral Semenanjung Malaysia. Mungkin ramai juga tidak tahu, bukan Filus seorang dari bidang seni perfileman dan TV yang terlibat dengan TRBM. Anak-anak buah Tuan Filus dalam TRBM terdiri daripada ramai jurukamera-jurukamera industri kita yang lain terutama mereka yang telah mengikuti latihan penggunaan kamera di dasar laut yang dianjurkan FINAS dan MySC termasuklah jurulatih latihan ‘Underwater Cinematography’ itu. Terdapat juga ahli-ahli TRBM dari bahagian lain produksi termasuklah dalang utama TRBM iaitu Dato Dean Lau Abdullah yang merupakan seorang penerbit/pemilik sebuah production house dan Presiden Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PIKDM) yang aktif bersuara dalam hal-hal polisi dan kebajikan industri perfileman dan TV. Saya kira 50% sukarelawan TRBM yang pada masa kini sedang sibuk menjalankan kegiatan nyah cemar Coronavirus tanpa henti sejak hari pertama PKP di kawasan-kawasan berisiko tinggi adalah dari industri di bawah naungan FINAS.

Berbalik kepada pagi 11 April 2020, saya membaca mesej-mesej di dalam Whatsapp group ‘Bantuan Pak Filus’, saya terkejut melihat ucapan takziah, innalillahi wainnailaihirojiun dan Al Fatihah. Di hati saya terdetik … NO!!! Saya scroll ke atas dan membaca mesej pertama yang memberi khabar kematian seseorang yang bukan Filus. Satu situasi yang janggal, itulah kali pertama saya mengalami rasa kelegaan di hati ketika membaca tentang perkhabaran kematian seseorang (jangan kecam saya). Sebenarnya saya panik kerana setiap kali saya melihat foto-foto aktiviti nyah cemar yang dimuatnaik ke Facebook TRBM ataupun Facebook Dean Lau, saya merasakan yang Filus terutamanya perlukan istirehat. Dek detikan hati, pada 27 Mac 2020 saya ada bertanyakan khabar pada beliau dan berpesan padanya supaya berhati-hati di luar sana.

Setahun yang lalu saya dan teman-teman menjalankan penggambaran sebuah rancangan TV bertajuk #OBB yang bererti Orang Baik Baik yang dipetik dari lagu nyanyian Art Fazil dan Imuda. Rancangan ini terinspirasi kerana saya ingin menceritakan tentang dan meraikan orang-orang baik yang berkhidmat untuk masyarakat tanpa mengharapkan balasan seperti Filus dan teman-teman TRBMnya. Saya teringat bagaimana ketika penggambaran saya merasa satu detik yang sangat istimewa iaitu saat sebarisan orang-orang yang ditemuramah, lima orang kesemuanya merupakan orang-orang profesional yang selalunya di belakang kamera tetapi pada waktu itu kamera-kamera pula diacukan kepada mereka. Ketika penggambaran itulah saya saksikan betapa seriusnya kawan-kawan seindustri kita ini dalam aktiviti menyelamat dan betapa bersungguhnya Filus terutamanya sehingga sanggup melupakan sakit yang dialami walaupun sudah tercedera dan hilang jari kaki. Keghairahan beliau terhadap kegiatan menyelamat sama seperti keghairahan beliau ketika penggambaran. Sesiapa yang pernah bekerja dengan beliau mungkin faham maksud saya. Pernah sekali beliau menjadi ‘Director of Photography’ di set sebuah filem pendek yang saya arahkan. Ketika itu Filus kurang sihat, kalau tidak silap, ia dijalankan beberapa bulan selepas salah satu pembedahan jantungnya, walaupun sudah sembuh saya kira beliau cepat letih waktu itu. Biarpun dalam keadaan kurang sihat beliau tekad untuk teruskan. Itulah sikap Allahyarham Filus Ghazali yang saya kenali.

Pada pagi 23 April 2020, sekali lagi saya membuka Whatsapp untuk membaca mesej-mesej yang belum sempat dibaca, sekali lagi saya memasuki group ‘Bantuan Pak Filus’ dan mendapati ucapan takziah, innalillahi wainnailaihirojiun dan Al Fatihah. Hati saya luruh, saya scroll ke atas ke mesej pertama yang belum dibaca. Mesej itu datangnya dari seorang lagi cinematographer Malaysia yang disegani-Haris Hue, ia menyatakan apa yang saya jangkakan.

Turut dikenali sebagai Pak Filus, Wak Filus atau Bung, Mohd Filus Ghazali meninggal dunia akibat lemah jantung awal pagi pada tanggal 23 April 2020 bersamaan 29 Syaaban 1441 setelah berhari-hari tanpa hari rehat di ‘frontline’ menyah cemarkan kawasan-kawasan ‘Red Zone’ sejak bermulanya PKP.

Allayarham merupakan otai cinematography filem, TV dan Iklan yang disegani di Malaysia dan Indonesia. Antara filem-filem yang pernah dihasilkan adalah filem-filem arahan Shuhaimi Baba, Pontianak Harum Sundal Malam 1 dan 2, Hati Malaya dan Tanda Putera. Seorang yang telah membuktikan sesiapa sahaja dari bawah tanpa latihan formal juga boleh berjaya dalam bidang seni yang diceburi berbekalkan keinginan, kerja keras dan dedikasi. Beliau juga merupakan cucu kepada Daeing Harris iaitu bapa kepada Junainah dan Junaidah (isteri pertama Tan Sri P. Ramlee) yang ketika hayatnya mengabdikan diri dan keluarga pada kesenian bangsawan dan kemudian filem-filem awal Tanah Melayu.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Nama beliau terpahat bukan sahaja sebagai pejuang seni tanahair tetapi pejuang masyarakat. Selamat jalan OBB. Salam takziah buat isteri, anak-anak, sanak saudara dan para sahabat Allahyarham Mohd Filus Ghazali.

Innalillahiwa innailaihirojiun. Al Fatihah.

Buat teman-teman seindustri, sekesenian yang masih bersama yang lain dan bertungkus lumus di ‘frontline’ menyah cemarkan kawasan tanpa menyedari erti lelah dan mengharapkan balasan, saya doakan keselamatan dan kesihatan anda semua. Moga anda semua dirahmati.


Ditulis oleh Nik Jassmin Hew. Foto Allahyarham Filus Ghazali dalam elemennya lengkap dengan mulut muncung trademark beliau pada hari terakhir kami shooting bersama Oktober 2019. Gambar hiasan sumbangan Emran Taib.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: