Uncategorized

Sastera: Nama tanpa Realiti?

Saya tertarik dengan interaksi antara Lutfi dan Munziru yang tersiar dalam ruangan Sastera dan Budaya Berita Harian. Ia berlegar sekitar soalan teras – apa itu sebenarnya sastera? Mereka telah memberi sudut pandang masing-masing.

Saudara Lutfi melontarkan suatu hujah dalam memberikan bentuk sastera yang selama ini dirasakan terawang-awang berlegar tanpa suatu keberadaan konkrit. Sastera, suatu pengkelasan yang selalu disebut dan dilontarkan tetapi tidak punya bentuk yang tetap yang boleh dipersetujui.  Berbeza-beza jika disoal kepada orang yang berbeza. Kekaburan dan mungkin kekeliruan bagi saudara Lutfi ini cuba beliau jelaskan. Sastera itu adalah refeleksi ontologi. Dengan memasakkan sastera pada makna ia menjadikan sastera sebagai alat yang punya tujuan hakiki – kebenaran.
Munziru gusar yang pemikiran sebegini akan membunuh sastera. Kegusaran ini timbul kerana ia baginya memberikan definisi kepada apa itu sastera dan apa itu bukan sastera seakan mendirikan suatu kerajaan autokratik yang akan menghadkan ruang kreativiti sebagai seorang penulis. Sastera itu tidak sepatutnya diberikan suatu kerangka khusus. Sastera harus jadi seperti kamar katanya yang membenarkan sesiapa sahaja masuk dan mempergunakannya untuk apa sahaja tujuan sang pengunjung.
Isu ini saya kira bukan baru dan setiap zaman ada pertempuran masing-masing dalam memberikan makna baru atau mengingatkan dan memperkuatkan makna lama. Satu kata yang besar natijahnya dalam arena penulisan dan kepengarangan.
Sebagai seorang manusia, keunikan kita adalah dalam kebolehan kita memahami sesuatu yang tak terbatas dalam batasan. Dengan memberikan makna kita memberikannya suatu bentuk untuk akal kita memahami dan membezakan sesuatu.
Sebelum kita lompat ke persoalan “Adakah sastera itu satu alat?” atau “Sastera perlu kerangka?” kita perlu memahami apa itu sastera terlebih dahulu. Apakah yang menjadikan sastera itu suatu kategori tulisan yang lain daripada copywriting, kewartawanan atau pun apa-apa tulisan lain yang membabitkan pembinaan ayat? Jika kita bersetuju ia punya perbezaaan, jadi apakah yang membezakannya. Dalam memberikan perbezaan ini kita perlu jelas apa sebenarnya sifat-sifat sastera yang terzahir dalam bentuk perkataan.
SASTERA 01
Sastera itu sudah menjadi suatu kata sakti yang kerap kali disalah guna untuk mengangkat sesuatu dan menolak sesuatu. Disebabkan tiadanya kata putus tentang apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan sastera maka ia terus disalah guna.
Mungkin juga ini adalah perkara yang baik, supaya sastera itu sendiri tidak akan kaku dan sentiasa segar dengan zaman. Tapi kesegaran ini akan berkait dengan nafas kesihatan budaya dalam suatu zaman. Sihat budaya zaman itu maka wangilah nafas segarnya, sakit budaya suatu zaman itu maka busuklah nafas segarnya. Namun demi memastikan sastera tidak diikat dengan suatu pendefinisian yang tuntas maka semuanya dikira segar belaka.
SASTERA 02
Sastera adalah penggunaan bahasa yang sarat makna. Ia tak terpisah dengan dikotomi subjektif-objektif kerana keduanya cuma dua muka berbeza pada satu syiling. Yang perlu dijelaskan lagi apakah makna ini?  Adakah semua makna yang dialami dan ditanggapi manusia semuanya berada dalam satu saktah yang sama? Atau pun ada hierarki dalam pengalaman manusia dengan makna ini?
Makna ini akhirnya berbalik kepada diri seorang pengarang, yang dalam proses melimpahkannya dalam bentuk kata-kata, ada satu bahasa puisi – puisi dalam erti kata bukan tertakluk kepada bentuk puisi tapi lebih daripada itu; puisi yang terbit menyerap segala aktiviti-aktiviti ini – intuisi, kreativiti, renungan dan hakikat diri – yang menjadikan sebuah karya itu karya sastera.
Saya percaya yang inilah sastera.

1 comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: