Uncategorized

KORUS BREAKBEAT

“Aku nampak kepala-otak terbaik generasiku dijahanamkan oleh kegilaan histeria bogel kelaparan, mengheret diri mereka ke lorong-lorong negro di waktu subuh, mencari cara melepaskan amuk gian…”

Di atas adalah terjemahan (bukan yang paling bagus) pembuka bagi sajak ‘HOWL’ oleh Pak Ginsberg. Antara petikan beliau yang aku suka. Kenapa? Mungkin sebab Ginsberg nampak sesuatu yang ada pada generasinya.

Aku taknak masuk ke ruang perbincangan ‘maksud’ atau ‘mesej’ (atau yang sewaktu dengannya), sebab aku bukanlah orang yang paling layak untuk bincangkan perkara itu. Namun, di sini aku nak kongsikan pengamatan aku tentang bagaimana kita melihat generasi kita?

Beberapa hari yang lepas, aku membaca sebuah blog posting oleh seorang kawan. Aku memetik dari post itu:

T. Alias Taib ada meniru beberapa sajak Latiff Mohidin. Ramai sekarang ini yang meniru cara penyair lama menulis (termasuk saya) cuma bezanya dengan T. Alias Taib adalah beliau meniru penyair dari zamannya sendiri, kami meniru penyair yang tidak sezaman.”

Bahagian ini paling berdering dan kena dengan jiwa aku waktu membaca penulisan bersahaja ini.

Aku tak ada bukti kukuh – peratusan penulis-penulis, bilangan yang merujuk kepada penulis mapan ataupun berapa ramai yang dipengaruhi rakan sebaya mereka. Belum kira yang mengaku tidak terpengaruh dengan sesiapa pun melainkan pengaruh luar dari sastera, contohnya.

Balik kepada perbincangan kita, aku mempunyai pertanyaan:

Berapa ramai diantara kita ‘meniru’ penulis-penulis sezaman? Berapa ramai yang ‘mencuri’ idea rakan-rakan sebaya dan menyuarakan gema dengan satu rentak yang sama? Berapa ramai – baik, kita buangkan kosa-kata tiru, curi, pinjam, plagiat; semua benda itu – bertanya pada diri sendiri:

“Berapa ramai diantara kita NAMPAK generasi kita? Berapa ramai diantara kita menyanjung generasi kita?”

Aku tak pernah faham sajak-sajak Beat Generation, tetapi aku perasan beberapa tokoh mengabdikan nama rakan-rakan penulis seangkatan, unadulterated, tanpa mendokong gagasan atau ideologi, tetapi semata (secara peribadinya, aku rasakan ia) merakam zaman, juga merakam orang-orang yang berada di zaman itu.

Kebarangkalian aku tak akan faham ‘HOWL’, tetapi aku tahu yang Ginsberg menulis tentang kawan-kawan dia dengan penuh alegori. ‘Footnote to Howl’ contoh paling baik. “Holy Holy Holy!” bunyinya…

Dan dari gema salakkan Ginsberg, aku terpanggil untuk menulis setelah membaca buku Chorus oleh Saul Williams, dengan antologi ini bermula dengan:

“Shut up and listen.”

Ya. Diam dan dengar. Dengarlah suara anak muda yang tak mati dan tak kompromi. Dengarlah suara generasi kami, dengan bunyi breakbeat yang di-sample oleh detak hati dan rentak naluri menulis yang sedang mengamati hidup, layan dan terus berlari mencari diri.

“New Age be damned if the old do not heed the voice and concerns of the young.”

Ramai bincangkan betapa besarnya penulis mapan melihat pengalaman kecil menjadi besar. Tetapi berapa ramai nak bincangkan tentang mereka yang tua juga pernah muda? Pengalaman perlukan masa. Penulisan perlukan masa.

Akhir kata, berkenaan dengan masa, kalau George Santayana kata:

“Those who cannot remember the past are doomed to repeat it.”

Evie Shockley pula:

“Those who cannot forget the past are destined to remix it.”

Dan aku? Aku rasa kau tahu jawapannya.


This is piece from Seni on Sunday, a weekly column where we invite guest writers to share their two sens about art. As an art advocate, we believe the public must be empowered to appreciate and express the arts. This is a safe space for sharing, in hopes that it would encourage and initiate arts discourse within contemporary Malaysia. The views and opinions expressed does not necessarily reflect Daily Seni’s stand on the matter.

This week we feature Jack Malik – culinary graduate, poet and Rabak artist who attends open mic events to (hi)jack the mic. He is the inspiration behind burgeoning open mic Jack It and a group of poet-friends who simply refer to themselves as Micjackers. He is waiting for his debut anthology due out this year. Follow him @_jackmalik.

%d bloggers like this: