Editorial News Performing Arts

Koloni Anak Alam tidak mati (Bah. Akhir)

BERTEMPAT di rerurai Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di MAEPS Serdang, pada 2 Mei lalu telah berlangsungnya Wawancara Sofa Putih bertajuk ‘Anak Alam Generasi II’.

Wawancara yang dikendalikan oleh Sayed Munawar Sayed Mustar ini telah mengundang Khalid Salleh, Yusoff Osman, Ken Zuraida serta Lutfi Ishak bagi membicarakan apakah tujuan dan maksud sebenarnya mewujudkan ‘Anak Alam Generasi II’ ini?

Menurut Yusoff Osman dan Khalid Salleh, Anak Alam tidak mati selagi seniman-seniman yang pernah bersama kumpulan ini masih hidup kerana Anak Alam bukanlah sebuah pertubuhan berdaftar, tetapi Anak Alam adalah attitude atau keperibadian yang ditanam ke dalam jiwa setiap seniman.

Syari’at Yusoff dan Khalid ini disokong teguh oleh Ken Zuraida, yang mewakili Bengkel Teater Rendra – tentu sekali hubungannya dengan Anak Alam begitu akrab. Lutfi, ketika ditanya apakah relevannya ‘Anak Alam Generasi II’, dan beliau menjawab bahawa generasi baharu ini menekankan perihal pengurusan seni dan aplikasi media sosial sebagai kembara kerja baharu, supaya pertubuhan ini (jika ada) tampak lebih tertib dan tidak ketinggalan.

Anehnya, Lutfi lebih menekankan pada kelompok sastera, walhal penggerak utama Anak Alam terdiri daripada artis (pelukis), penyair dan pemain pentas. Tidak bermakna Anak Alam menolak sastera – tidak sama sekali, bahkan Anak Alam amat menghormati persatuan khusus untuk penulis yang sedia ada seperti Persatuan Penulis Nasional (PENA) contohnya.

Ken mempersoalkan kenapa mesti menamakan ‘Anak Alam Generasi II’ sedangkan ia boleh dinamakan apa sahaja seperti pertubuhan lain yang semakin bercambah banyak, kerana koloni Anak Alam selayaknya tidak boleh dilegasikan.

Jika masih juga mahu bertegas, adalah tidak bagus jika hanya memandang kepada kelompok sastera sahaja. Sebagusnya, sebagai penggerak Anak Alam generasi baharu (jika benar), semestinya bergaul dan mengenali seniman-seniman muda yang lain daripada bidang yang lain seperti seni lukis dan seni pentas, kerana sastera itu seperti agama pada setiap individu seniman manakala kerja seni adalah wadah menyatakannya.

Adalah menjadi masalah kaum muda, apabila mereka ini terlalu terikat dan terikut pada kotak-kotak teori sedangkan seni kesenian itu bersifat bulat, wewenang, ‘telanjang’ dan tidak tertakluk pada rupa dan bentuk. Matlamat seni kesenian ialah kesampaian rasa yang menusuk sanubari khalayak sehingga sedar akan kewujudan Sang Pencipta alam semesta. Pun begitu, rasa itu mesti disampaikan dengan adab santun, berbudi dan berbahasa.


Kebaculan birokrat membunuh kesenian

Bukanlah seniman-seniman Anak Alam atau seniman-seniman sejati yang lain (baca: seniman yang giat pada tahun-tahun 1970-an hingga 1990-an) ini bersikap angkuh sehingga bunyinya seperti memperlekeh orang muda – bukan. Kita sebagai anak yang membesar dalam era mereka: mengikuti sejarah dan perkembangannya, wajib memahami bahawa tokoh-tokoh ini bermati-matian menghidupkan kesenian tanahair demi generasi yang tercipta hari ini mahu pun  akan datang, selagi nyawa dikandung badan.

Jelas, kita hari ini berdiri di atas tapak yang hampir ‘tertimbus’ dan ‘digali’ kembali oleh seniman-seniman yang bertanggungjawab sehingga menemui ‘permata’ yang tak ternilaikan. Nah, ‘permata’ inilah yang tidak disenangi oleh ‘orang politik’ dan sekutunya. ‘Permata’ ini tidak boleh didagangkan kerana pancaran seni kristalnya itu menyucuk mata mereka yang menafikan hakikat kebenaran.

Tidakkah kita cuba menyelami jauh ke hujung hati tokoh-tokoh ini tatkala mereka menyaksikan banglo No. 905 dan kejiranannya, yang telah dicurahkan bakti sepenuh jiwa raga selama suku abad itu dirobohkan begitu sahaja; dan pihak birokrat menabur harapan akan menggantikannya dengan sebuah pusat pembelajaran seni?

Apakah perasaan mereka yang mencadangkan kewujudan Institut Bimbingan Seni (kemudian menjadi Akademi Seni Kebangsaan dan kini dikenali sebagai ASWARA), Panggung Eksperimen dan Panggung Negara (Istana Budaya) ini akhirnya dilayan oleh birokrat seperti bangsat, hanya kerana mereka tidak memiliki kertas ijazah, tiada gelaran, berwajah ‘kampungan’ dan jauh sekali berpakaian kemas?

Sesebuah birokrat atau jabatan kerajaan sewajibnya bertanggungjawab membela para seniman, bukannya berlagak seolah-olah merekalah (baca: birokrat) seniman. Terus-terang, seniman ialah susuk yang tidak pandai mengurus perihal-perihal birokrasi. Maka itu birokrat ini perlu dalam memudah-carakan hubungan, pergerakan serta memantau perkembangan seni keseniannya.

Namun, birokrat juga tidak boleh dipersalahkan. Tetapi kebaculan mereka itulah yang mesti diasuh supaya menjadi berani – berani ingkar pada nafsu serakah pemimpin atasannya, yakni kejahatan ‘orang politik’ yang sudah tentunya buta seni.

Apabila birokrat selesa dalam kebaculan mereka, maka jadinya – ASWARA (kini) yang diumpamakan sebuah kandang menternak manusia – graduasinya mereka menjadi manusia yang merasakan diri mereka ‘cukup bagus’ dan layak meninggi diri; ASWARA sepatutnya menjadi tempat mengasah, mengasih dan mengasuh budi pekerti. Kenapa terjadinya demikian? Kerana segelintir tenaga pengajarnya juga telah berjaya dibaculkan.

Perlu diingat, tapak berdirinya kampus ASWARA itu asalnya koloni Anak Alam dan KBN. Jiwa mereka masih terbekas di situ. Diumpamakan: kita menjejak ke Masjidil Haram di Mekah, apakah kita cuma bangga kerana dapat memandang kotak batu besar yang diselimuti baldu hitam itu semata atau kita menghayati alam tersiratnya yakni memijak bumi yang sama dengan Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail?


Manifestasi Jenerasi Anak Alam  (ditubuh pada 1 May 1974)

Di sekeliling kami mesin-mesin mulai berkuasa, manusia-manusia menilai sesuatu di atas hitam dan putih semata, dan kebenaran hanya, diperuntukkan kepada satu sumber yang telah ditentukan terlebih dahulu, dan kesenian satu hobi yang ditampalkan kepada status hidup.

Di sekeliing kami berguguran kata-kata tentang ‘seni’ dan ucapan-ucapan terhadap seni dari orang-orang yang tidak mengenal apa lagi punya apresiasi terhadap seni.

Dan di sekeliing kami kehijauan mulai bertukar kepada batu-bata dan kaca dengan debu yang dipaksakan kepada kami menyedutnya tiap detik waktu.

Dan dikeliling kami tali dan jaring birokrasi semakin menceruti gerak langkah dan tuturkata sehingga kami merasa kehilangan diri dan realiti.

Kami jenerasi anak alam. Dengan kesedaran di atas dan dengan cinta yang hangat kepada seribu warna dan kebebasan kemanusiaan menyatakan kehadiran kami dalam satu tenaga seniman untuk berkomunikasi dengan alam keliling dengan warna bahasa dan garisbentuk sebagai pengucapan kami yang dikenal oleh manusia sejagat.

Jenerasi kami adalah wadah kegiatan dan kesanggupan di mana idea dan imajinasi seniman diterapkan dengan kejujuran dan sifat kebenarannya.

Semua seniman dari cabang seni yang merasakan getaran dan keharuan yang sama dengan manifestasi ini adalah saudara-saudara kami yang satu wadah. Tidak ada perbatasan keturunan, warna kulit, kepercayaan, usia, jantina dan ukuran rambut bagi jenerasi anak alam.


Gambar-gambar diambil dari Arteri.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: