Editorial News Performing Arts

Koloni Anak Alam tidak mati (Bah. 1)

BERTITIK-TOLAK dari penentangan sistem, sekumpulan pelukis muda tempatan yang diketuai oleh Latiff Mohidin, berhasrat mahu menubuhkan sebuah kumpulan yang mewakili zaman ketika itu. Pada asalnya, mereka mahu namakan kumpulan itu sebagai Persatuan Pelukis Avant-Garde (dan beberapa cadangan nama lain), namun hasilnya pada 1 Mei, 1974 – dengan rasminya sebuah kumpulan tidak rasmi lagi tidak berdaftar telah lahir ke dunia dan diberi gelar: ANAK ALAM.

18354_1341062161058_1066313673_1066602_7736204_nTongkat Warrant ialah insan yang bertanggungjawab menamakan kumpulan ini.

Koloni yang bermula di Taman Budaya Jalan Ampang (tapak Hotel Intercontinental kini), kemudian pada 1975, bersama-sama Kumpulan Budaya Negara (KBN – yang lahir pada tahun 1972) telah dipindahkan ke banglo tinggalan kolonial di sebelah Padang Merbok dan dengan ehsan Ketua Pengarah KBN ketika itu, Ismail Zain, maka Anak Alam juga diberikan sebuah banglo bernombor 905, berjiranan dengan KBN.

Bertepatan dengan namanya, di banglo yang terletak di lereng bukit dan dikelilingi hutan menghijau, di sinilah berkumpulnya pelukis-pelukis yang tidak terikat dengan mana-mana falsafah dan bentuk kerana mereka bebas mengabdikan diri pada seni.

Jelas, mereka bukanlah pengikut aliran potret dan pemandangan seperti yang dipelopori oleh pelukis-pelukis zaman sebelumnya. Karya mereka lebih kepada manifestasi kejujuran hati.

Selain Latiff Mohidin, antara pelukis yang menggerakkan Anak Alam pada permulaannya ialah Mustapa Haji Ibrahim, Ali Mabuha Rahamad, Zulkifli Dahalan, Rahim Nazar, Yusoff Osman (Yusoff Volkswagen), Yusof Ismail (Yusof Gajah), Mazlan Noor, Siti Zainon Ismail, Hassan Majid, Muhammad Abdullah, Maryam Abdullah, (dan mungkin ada lagi nama yang tercicir).


Pemburu Perkasa

Seorang pemain teater yang jadikan kaki lima sebagai pentas permainannya, telah mencuri perhatian warga Kuala Lumpur dengan lakon Jual Ubat nya. Monodrama yang dimainkannya sejak 1970, telah menjelajah ke seluruh negara dengan menjadikan jualan ma’ajun warisan keluarganya itu sebagai tiket tontonan. Beliau sebelumnya giat berteater dengan mengenakan tiket tontonan di Batu Pahat, kampung beliau membesar. Nah, bisnes teater bertiket (selain Bangsawan) ini sudah bermula sejak tahun 1960-an lagi.

Di Kuala Lumpur, beliau memilih ‘benteng’ sebagai pentasnya, (kini menjadi Stesen LRT Masjid Jamek, di siarkaki menuju ke Leboh Pasar). Antara peminat tegar persembahannya ini ialah Latiff Mohidin, Usman Awang, Rahim Razali dan Krishen Jit. Pada masa yang sama, sosok tokoh ini juga mengikuti perkembangan kegiatan KBN dan Anak Alam.

Pada tahun 1975, sosok tokoh ini secara rasminya menyertai keluarga Anak Alam dan berjaya memecahkan ‘kependiaman’ pelukis-pelukis di situ dengan kegiatan berteater (khususnya), baca puisi, drama tari, bermain muzik dan sebagainya. Sehinggakan sosok tokoh ini memilih untuk mengabdikan diri di Anak Alam. Pengabdiannya terbukti begitu dalam apabila sebuah pondok yang dipanggil orang sebagai ‘pondok Wak’, dibinanya sendiri di tebing bukit bersebelahan banglo.

Sosok tokoh inilah Khalid Salleh.

Permulaan kerja teater di Anak Alam, Khalid Salleh bersama Muhammad Abdullah serta seluruh keluarga Anak Alam telah mementaskan naskah Wolf Mankowitz berjudul Pemburu Perkasa (The Mighty Hunter), terjemahan W.S. Rendra. Uniknya, teater ini bukan dipentaskan di panggung, tetapi di Kompleks Pertama dan di kaki lima sekitar Kuala Lumpur – kaedah yang sama dengan lakon Jual Ubat.

Kerja teater kecil ini juga telah menggamit penggiat teater lepasan universiti seperti Johan Jaafar, Dinsman, Omar Abdullah, Zakaria Ariffin dan Hatta Azad Khan untuk mendekati Anak Alam, sehinggakan Johan Jaafar menerbitkan kerja teater besar pertama Anak Alam – Angin Kering.


Topi ijazah

Ahli keluarga Anak Alam muncul dengan identiti penampilan tersendiri – memakai topi atau beret. Identiti ini wujud dengan sendiri kerana seniman-seniman Anak Alam rata-ratanya berambut panjang dan, topi atau beret gaya Eropah adalah tanda bahawa seniman itu sudah merantau ke benua Eropah yang dikatakan kaya dengan ilmu dan penghargaan kesenian (seni halus terutamanya).

18354_1341063481091_1066313673_1066604_2381161_nSeseorang seniman Anak Alam yang keluar merantau atau mengembara keluar dari kepompong selesanya dianggap sebagai ijazah. Semakin banyak seseorang seniman itu mengembara, semakin tinggilah nilai ijazahnya.

Hasil dari kembara itu bukanlah untuk dimegah-megahkan, kerana prinsip atau dasar yang disepakati sesama ahli keluarga Anak Alam ialah: tidak mengejar ‘glamor’ termasuklah mengejar nama, gelaran, pangkat dan pujian. Kembara itu bertujuan untuk seseorang seniman itu mengenalkan jatidirinya dan kembali kepada asas manusiawi yakni budi pekerti.

Tidak hairanlah jika kita saksikan sopan-santun dan keakraban sesama mereka hari ini kerana mereka memang mengasuh diri untuk menitik-beratkan budi pekerti.

Di samping menjejak ilmu di serata dunia, tujuan kembara itu juga sebagai jalinan hubungan seniman-seniman antarabangsa. Dalam soal kesenian teater, Anak Alam sangat akrab hubungannya dengan Bengkel Teater Rendra di Indonesia, yang dijalini sejak 1976. Seperti dasarnya, bukanlah mereka ini mengejar atau menumpang nama-nama gah, tetapi mempelajari sikap rendah diri dan kebebasan jiwa yang ada pada seseorang tokoh itu.

ANAK_ALAM-02

Nah, jelas terbukti di sini bahawa kerja-kerja avant-garde sebenarnya tidak boleh diikat dengan sistem dan format. Kebebasan yang suci lagi tulen – bermaksud kebebasan tanpa dicemari titik niat yang noda, adalah kunci dalam penghasilan kerja seni yang bisa menusuk sanubari. Kebebasan inilah semangat atau roh yang dibawa oleh setiap ahli keluarga Anak Alam sehingga ke hari ini.

Semangat merdeka ini bukan saja dipraktiskan pada kerja, bahkan pada diri sendiri yang menempuhi kehidupan palsu ini. Anak Alam telah melahirkan seniman jujur yang benar-benar memahami diri dan alam, yang memahami bahawa tubuh badan manusia dan selut lumpur tiada bezanya. Tiada istilah jijik melainkan suci yang tulen belaka.

Persoalannya kini, apakah seniman hari ini dapat mencapai tahap kesenimanan seniman-seniman Anak Alam? Dan apakah wajar diwujudkan kembali Anak Alam generasi baharu setelah banglo Anak Alam (dan KBN) dirobohkan pada tahun 1999, dan kini tapak itu berdiri megah bangunan Akademi Seni & Warisan Kebangsaan (ASWARA)?


Gambar-gambar diambil dari Arteri.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: