Editorial Literature Reviews

Melayu belum kenali Hang Tuah

SUDAH beratus-ratus versi (mungkin) cetusan pendapat berkenaan tokoh ini diangkat oleh pemikir sama ada dari kalangan sasterawan, seniman dan sejarahwan. Tetapi sayangnya, sehingga ke hari ini masih lagi belum menemukan titik jawapan yang konkrit.

Persoalan kewujudan tokoh ini sama ada benar atau dongeng, sudah bermain di pemikiran bangsa Melayu sejak lebih se-abad nan lalu, sejak pengkaji sejarah Inggeris telah berjaya men-transliterasi-kan sastera Melayu dari Jawi ke Rumi, dan dari situ mereka menghadami jiwa bangsa Melayu.

Hang Tuah – sosok tokoh yang digambarkan di dalam sastera agung Melayu yakni Sejarah Melayu atau Sulalat u’s-Salatin dan Hikayat Hang Tuah masih menjadi misteri dan keperibadiannya masih dipugar sehingga ke hari ini. Paling menarik, tokoh yang terkenal dengan petikan: “Tak Melayu hilang di dunia” ini diriwayatkan hilang begitu sahaja!


Antara Sejarah dan Mitos

Sebagai sebuah drama, babak yang acapkali dipentaskan sudah tentu babak pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat (atau Hang Kasturi menurut Sejarah Melayu) dengan pelbagai jenis falsafah dan idea disuntik sewenangnya oleh karyawan pentas mahu pun filem.

Tetapi sebagai sebuah sejarah, Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam menuntut bukti yang jelas lagi sahih dalam menentusahkan sejarah yang diangkat. Selagi tidak ada bukti yang nyata lagi konkrit, suatu pengsejarahan itu boleh disimpulkan sebagai lemah dan layak dihukum sebagai rekaan atau dongengan atau mitos.

Antara Sejarah dan Mitos cover 25Jan2016Berdasarkan prinsip asas kajian sejarah ini, maka itu Ahmat Adam menulis buku berjudul Antara Sejarah dan Mitos : Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia, sebuah buku terbitan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD).

Ahmat Adam menegaskan dalam kesimpulannya bahawa tokoh Hang Tuah ini hanya mitos, rekaan Tun Seri Lanang atau penyalin daripada cerita lisan berdasarkan beberapa faktor sejarah yang goyang seperti tarikh dan kewujudan tokoh-tokoh lain seperti Sultan Melaka ketika itu.

Ditambah, memandangkan ejaan Jawi lama pada naskah asal Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah agak rumit untuk dibaca kerana ejaannya bersandarkan pada baris tersembunyi (hanya fasih al Quran sahaja yang fasih membaca Jawi lama), kemungkinan penyalin naskah gagal men-transliterasi ejaan Jawi kepada Rumi dengan tepat sehingga beberapa perkataan disalahsebut.

Contohnya: “… Maka fakir namai ia Sulalatu’s-Salatin, yakni perturan [ejaan Jawi: Pa Ro Ta Wau Ro Alif Nun] segala raja-raja …”; di sini Ahmat Adam membetulkannya sebagai pertuturan. Namun, bukankah aneh bunyinya pada ayat tersebut, dan apakah maksud bahasa Arab iaitu sulalah(t) itu bermaksud pertuturan? Berdasarkan ejaan jawi, kenapa tidak disebut sebagai peraturan?

hikayat-sulatus-al-e28093salatinPerkataan salatin pula bermaksud perkataan jamak kepada sultan (raja): sultan-sultan (raja-raja). Apakah tidak mustahil jika tajuk Sulalatu’s-Salatin itu bermaksud Peraturan Raja-Raja?

Ahmat Adam juga berpendapat bahawa ejaan ‘hang tuah’ berkemungkinan disebut ‘hang tuha’ atau ‘hang toh’ memandangkan ejaan ‘tuah’ dieja Ta Wau Ha. ‘Hang’ adalah perkataan Jawi kuno bermaksud orang yang mahir, dan ‘tuha’ pula bermaksud usia lanjut. Gelaran ‘Laksamana Hang Tuha’ itu hanya semata-mata gelaran, bukanlah merujuk kepada nama seorang tokoh yang kita kenali sebagai Hang Tuah.

Hal demikian turut berlaku pada peribahasa harapkan pegar, pegar makan padi, di mana turut menjadi mangsa ‘salah transliterasi’ (sebelum ini kita dibesarkan dengan ‘harapkan PAGAR, PAGAR makan padi’).

Selain itu, Ahmat Adam memperkenalkan naskah Sejarah Melayu versi Krusenstern, yang disimpan di Arkib Institut Manuskrip Oriental di Saint-Petersburg, Rusia; dipercayai antara naskah tertua selain naskah salinan Raffles MS No. 18.

Seorang sarjana pengajian Melayu berbangsa Rusia telah menulis tesis dalam bahasa Rusia berkenaan naskah Sejarah Melayu versi Krusenstern. Sayangnya, tesis ini sukar untuk diakses kerana ia ditulis di dalam bahasa Rusia, maka ia tidak dapat dihujahkan dengan lebih mendalam.


Penghuni gua

Di dalam buku ini juga, sering menekankan kaedah atau pendekatan atau prinsip seseorang pengkaji sejarah mestilah menuntut bukti yang sahih bagi menentusahkan sesuatu sejarah. Maka itu, Ahmat Adam (agak) menafikan kewujudan makam yang didakwa milik Hang Tuah di Tanjung Keling, Melaka. Menurut Ahmat Adam, makam itu sengaja diciptakan atas tujuan pelancongan.

Hang_Tuah_Mausoleum_-_TombSecara peribadi, saya berpendapat bahawa mungkin Ahmat Adam terlupa bahawa tidak semua sejarah menuntut pembuktian yang konkrit. Bagaimana pula dengan peristiwa-peristiwa sejarah yang tercatat di dalam kitab-kitab suci, baik yang tercatat di dalam Torah, Gospel dan Quran: bagaimana hendak dibuktikan dengan peristiwa Adam dicampak ke dunia dari syurga?

Seperti yang ditegaskan oleh Tuhan di dalam surah al Kahfi berkenaan jumlah pemuda yang tertidur di dalam gua selama 300 tahun: “… Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit …” [18:22]; bagaimana pula peristiwa ini hendak dinilai sebagai sebuah sejarah?

Kita seringkali terlupa bahawa alam zahir ini diliputi alam batin. Kita terlalu mendesak logika akal fikiran yang fizik sifatnya sehingga mengabaikan logika hati yang metafizik sifatnya, yang sukar untuk dibuktikan secara nyata melainkan dengan penempuhan jalan batin.

Sampai bila sejarah sebenar Hang Tuah mesti disembunyikan? Kenapa kita masih menafikan bahawa Hang Tuah itu sebenarnya seorang Wali ALLAH yang berguru dengan Syeikh Sayyid Hassan Thana’uddin Jumaidil al-Qubro atau lebih dikenali sebagai Sang Adi Putra?

Apakah benar Hang Tuah menikam Hang Jebat sedangkan talibarut-talibarut Portugis yang terdiri daripada Datuk Shahbandar (Melayu), Datuk Mandaliar (pedagang India) dan Datuk Nika Paduka Raja (ketua kaum Cina) meloncat-loncat gembira kerana dapat melagakan dua sahabat sejiwa ini!

Namun perlu diakui, perihal rahsia mesti kekal rahsia. Cuma dikesalkan, apabila rahsia ini sudah disalah-anggap, maka terjadilah seperti Melayu yang berduyun menziarah ke makam Mat Kilau kerana pesan Mat Kilau semasa akhir hayatnya: “Jika mahu bertemu denganku, ziarahlah ke makamku….”

Apakah Melayu ini tidak mentafsirkan bahawa makam yang dimaksudkan Mat Kilau itu ialah makam qolbu, yakni alam batin?

Nampaknya, Melayu masih belum lagi kenali Melayu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: