Music

Amir Jahari Lancar Platform Bakat, ‘Ilek Ilek Jak’

Maestro akustik Amir Jahari sejak minggu lepas telah mula menyeru sokongan bagi platform pencarian bakat yang diterajuinya, ‘Ilek Ilek Jak’ yang dilancarkan di The Talent Lounge, Pusat Perdagangan Petaling Jaya berhampiran Empire Damansara Perdana malam Sabtu lepas. Penyanyi/pencipta lagu kesukaan ramai itu mula menjemput tetamu-tetamu untuk acara ‘Ilek Ilek Jak’ ini di majlis harijadi sahabatnya Aizat Amdan yang diadakan di Ruang, Subang Jaya.

Tetamu-tetamu undangan yang dijemput menyaksikan showcase bakat baru pilihan Amir itu kebanyakan terdiri daripada rakan-rakan pemuzik, produser, komposer, pemilik label rakaman indie dan pengurus artis. Ahli media turut dijemput kerana inisiatif seperti ini tentunya amat memerlukan sokongan dari pihak media yang relevan.

Kebanyakan audiens yang hadir memenuhkan The Talent Lounge kelmarin nyata memberikan perhatian yang setimpal pada 14 akta yang menunjukkan kebolehan mereka di atas pentas yang sedikit ‘horror’ itu. Kelihatan sedemikian kerana tokoh-tokoh industri rakaman seperti Jennifer Thompson, Aizat dan Anas Amdan dari KGE, gitaris/produser Jedi Pop Shuvit, penerbit Damian Mikhail, penyanyi Indah Ruhaila dan Loy Ekzan, pengurus program radio iM4U.fm antara yang menyaksikan di hadapan pentas.

Venue pula penuh sehingga ke belakang, yang bersantai di luar juga dapat melihat pentas dari dinding kaca, dan dalam suasana yang sibuk seperti itu sesiapa sahaja bakal sedikit tertekan tidak kira pengalaman. Di luar sama meriah seperti di dalam, dengan artis-artis alternatif di luar radar perdana seperti Maharajalela aka Faizal Shahrin menjaja secara gerila albumnya ‘Jual Beli Niat’ di atas kaki lima sahaja. Amir sebagai hos dengan sejarah peribadinya selaku penghibur jalanan juga turut ringan membantu mengumumkan album yang “sangat best dan sangat eksperimental” dari rakan seperjuangannya itu.

Misi Mencungkil Kualiti Amir Jahari

Pemantauan asal telah dilakukan Amir bersama pasukan pengurusannya berdasarkan demo-demo rakaman yang dihantar lebih 100 peserta pada awal bulan Januari.

Kata bekas busker yang mula meraih kesedaran awam setelah bertanding di Akademi Fantasia 9 pada tahun 2011 itu, tiada kriteria tertentu yang dicari bagi 12 finalis yang disenaraipendekkan itu, cuma ‘faktor X’ dan ciri-ciri sewaktu dengannya. Lagu-lagu yang dibawapun ada yang terdiri daripada lagu ‘cover’, dan bukan semua calon yang dipilih membawa lagu ciptaan sendiri.

Daripada kuintet separa tradisional R.U.N.S. (Revolusi Untuk Negara Sendiri) yang menampilkan instrumen yang jarang digunakan berbanding gitar karen, kibod dan drum seperti akordion dan gambus, sehinggalah busker muda, Leia, yang menjadi bualan audiens pada malam itu disebabkan projeksi suara serta ‘stage presence’ yang ekstrovert dan tidak kaku di pentas.

Akta solo yang tampil pada malam itu termasuk juga Banni Bashisyar, Ainul Winda, Fidz, Tiana dan Ficheri, diiringi minus-one bagi yang tidak mengiringi diri sendiri dengan instrumen live. Fourth December juga berpotensi walau sedikit mentah muzikal mereka tetapi itu lumrah yang ada pada peserta-peserta lain juga. Peserta ‘ensemble’ (yakni lebih dari seorang) yang lain seperti Damia, Spooky Wet Dreams dan Box For Letters juga pasti berhadapan dengan pelbagai rintangan kecil yang hanya mereka sahaja yang tahu semasa persembahan mereka.

Dengan keadaan pentas yang tiada ‘monitor’, itu antara perkara teknikal yang harus ditepis awal-awal oleh mana-mana pemuzik yang melatih untuk membuat persembahan. Ia antara benda yang biasa membelenggu pemuzik profesional sekalipun sehingga hari ini, apatah lagi pemuzik yang bermula di peringkat lokal dari universiti keluar berhadapan dengan medan komuniti.

Satu lagi isu yang ketara adalah penampilan di pentas, ataupun pembawaan diri sebagai pemuzik atau ‘performer’. Bakat-bakat baru di The Talent Lounge kelihatan masih tidak semua yang belum lagi memahami kepentingan presentasi diri. Bukankah lebih indah jikalau muzik itu diberi rupa dan nama yang sama harum dengan alunan muzik yang dipersembahkan?

Lebih-lebih lagi di acara sebegini: kita tidak tahu bila kita akan mendapat peluang seperti ini lagi, di mana terkumpul sebahagian besar industri muzik hanya untuk menyaksikan kita. Adalah menjadi agak ralat jika memakai jersi bolasepak dan selipar sebagai kostum pilihan persona anda di pentas penilaian sebegini, contohnya. Jadi tanggungjawab untuk mempersembahkan versi artistik yang terbaik sesuatu talent itu tentunya jatuh ke peserta sendiri.

Walaupun begitu, Amir Jahari sendiri selaku pemula platform ini tidak menekankan apa-apa piawai yang ketat atau skema bagi kebebasan peserta-peserta berkarya.

“Saya tidak begitu menilai kualiti lagu lagi kerana saya mahu platform ini terbuka, tanpa kongkongan lama dan tekanan biasa seperti kesempurnaan vokal, persembahan dan sebagainya. Pada saya bakat itu boleh tampil dengan banyak cara, melalui perwatakan seseorang, keperibadiannya dan juga asal-usulnya, bukan sahaja suara dan bakat muzik,” terang komposer dan penulis lirik lagu carta seperti “Aku Juga Manusia”, “Tanpamu” dan “Gelisah” itu.

Nama-nama yang ini terdiri daripada kugiran pop dan rock (serta juga sebuah kumpulan ‘punk rock’), penyanyi solo dengan iringan akustik, duo, trio dan kombo yang beraneka gaya dan penyampaian. Sangat berempati dengan ‘enthusiast’ seperti mereka yang berani tampil untuk mengketengahkan sendiri karya dan persembahan mereka di dalam posisi ‘underdog’ sedemikian.

“Saya juga melihat kemahuan yang ada pada seseorang itu, itu antara kualiti yang saya hargai,” kata Amir lagi.

Jadi tepukan hormat pada peserta-peserta ‘Ilek Ilek Jak’ yang menemuh 10 minit masa yang diberikan di atas pentas untuk menarik perhatian sekalian industri muzik baru Malaysia. Penghargaan juga kepada anak-anak seni seperti Amir Jahari yang berwawasan dan sanggup merealisasikan visi yang ikhlas diilhamkan dari perjalanan kariernya sendiri.

‘Ilek Ilek Jak’ berpotensi menjadi jenama muzik Amir yang fokus kepada memupuk dan membimbing pembikin-pembikin seni masa depan, menjadi sebuah institusi yang boleh menyumbang kepada bunyi Malaysia kelak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: