Music

Reset To Zilch – Phantasm; Antithetical: Album Yang Meraikan Kepelbagaian Pilihan

Ketibaan muzik instrumental ataupun pasca-rock yang memenuhi konsep bimbingan mood yang santai akhirnya berjaya menangkap hati anak muda. Mungkin sahaja ada yang mendambakan suasana kelam yang tidak disertai aura positif, sebaliknya menginginkan suatu pemaknaan realiti yang jelas.

Ada juga diantara pendengar muzik yang tidak ingin mendengar suatu nada  yang bercanggah dengan perasaan anak-anak muda yang mulai sedar akan ketidaksempurnaan dunia. Lalu dengan kewujudan adunan muzik yang secara jujur memaparkan sisi gelap kehidupan, berjaya menyatakan keberadaannya sendiri dan kukuh berdiri bersama pilihan-pilihan muzik yang lain.

Tetapi adakah proses pemaknaan ini yang benar-benar dimaksudkan oleh mereka? Atau mereka hanya membawa peranan untuk menolak pendengar ke suatu ruang, langsung mengharapkan kekuatan pendengar sendiri untuk menentukan kemana hala tuju perasaan mereka. Kerana sisi kelam yang dipaparkan melalui EP mereka, sering diselang ganti dengan nada yang bersemangat.

‘A Profound Lapse’ sebagai contoh, bermula dengan gaya tapping yang seakan-seakan mampu membawa pendengar untuk berlari menuju suatu ruang yang tidak masih dapat ditentukan, dipenuhi dengan nada yang optimistik. Bahagian seterusnya digantikan dengan riff gitar yang kelam, secara tidak langsung membawa kita kepada suatu lumrah kehidupan yang utama iaitu ketidaktentuan itu sendiri. Ketidaktentuan tempo atau ritma yang dipersembahkan oleh mereka, barangkali untuk menyatakan bahawa begitulah kehidupan seadanya. Seperti mana yang diterangkan oleh Naqi dan Safiq selaku pemain gitar, kesedaran kita tentang ketidaktentuan itu sendiri mulai muncul apabila kenaifan kita mulai retak, langsung menimbulkan persoalan tentang hala tuju anak muda itu sendiri, kemana dan bagaimana?

‘Here and Now, Presence of Still Life’ pula amat menarik untuk diperhatikan kerana gambaran saat yang dihidupi itu sendiri, begitu rapuh dan senang benar ditenggelami oleh ketakutan kita tentang masa hadapan kita yang ditentukan oleh kesilapan lampau. Mungkin sahaja mereka adalah segelintir manusia yang setuju tentang keindahan ‘kesegeraan’ itu yang tersendiri, iaitu tingkat keindahan yang tinggi dapat dikecapi melalui pandangan objektif tentang kehidupan, agar kesilapan masa lampau dan emosi yang berkecamuk berjaya dikawal oleh kebolehan akal manusia.

‘Phantasm; Antithetical’ Sebagai Suatu Pernyataan Kondisi Anak Muda

Jadi setelah selesai menempa nama melalui Self-Titled EP mereka, Reset To Zilch bakal meriliskan album pertama mereka yang bertajuk ‘Phantasm; Antithetical’ pada 24hb Januari nanti, tajuk album yang kedengaran gah dan memberikan harapan yang agak ‘grandeur’ untuk pendengar. Adakah ianya menggambarkan dua benda yang berlainan namun terjalin melalui perletakan ‘semi colon’ yang disengajakan oleh mereka? ‘Phantasm’ yang membawa maksud realiti disebalik objek yang digarapi oleh kita, dan diteruskan lagi dengan penyataan bahawa realiti yang ada, senantiasa bercanggah ataupun bertentangan dengan apa yang diketahui oleh kita semua. Maka ‘Antithetical’itu sendiri merupakan suatu noktah kepada keadaan yang membelenggu mereka di saat ini. Suatu keadaan dimana mereka sedar tentang apa yang berlaku, dan suatu pernyataan bagi mereka bahawa realiti yang ada, bercanggah dengan representasi dunia seperti apa yang mereka lihat disekeliling mereka.

Seperti lagu Quasar yang membawa nada gelap, seakan-akan ingin memberi amaran bahawa keadaan di dunia kita, realiti seperti yang diketahui oleh semua menjadi semakin teruk dan pengutamaan mereka terhadap bingungnya kehidupan itulah yang menjadi tunjang utama kepada lagu mereka ini. Disertai dengan sampel naratif suara (tidak salah saya dari petikan filem The Network) yang menyatakan tentang proses pembodohan yang dilakukan oleh televisyen itu menguatkan lagi nada amaran yang dibawa oleh mereka. Contoh lagu Quasar dapat dilihat sebagai kerangka asas untuk album pertama mereka.

Tema ketidaktentuan itu juga dibangkitkan semula di dalam album pertama mereka. Seperti lagu ‘False Transition’ yang disertai vokal Syahrul dari Love Me Butch, “We steer all this way, to false transition / We pull over just to find out, we’re still the same old person”. Proses kehidupan itu sendiri akan sentiasa menemui suatu kondisi yang membingungkan, ketidaktentuan tentang hala tuju individu dan mungkin sahaja bagi mereka, muzik adalah salah satu medium yang harus mengerti tentang keadaan ini agar ianya dapat dilihat sebagai bimbingan kepada anak muda untuk melihatnya sebagai petak pertama bagi mereka untuk menjangkaui kondisi ini berulang kali.

Justifikasi Keberadaan Mereka Di Dalam Arena Muzik Tempatan

Persoalan yang senantiasa membelenggu saya sebagai salah satu pendengar muzik bawah tanah di negara kita, kenapa mereka memilih genre ini sebagai estetik utama mereka? Adakah wujudnya suatu objektif yang ditetapkan oleh mereka? Dan bagaimana persepsi mereka terhadap keadaan muzik yang ada di negara kita?

Seperti penggiat muzik yang lain, pendekatan seperti ini adalah berdasarkan suatu proses untuk mengimbangi kepuasan diri secara peribadi dan memberi pilihan muzik alternatif terhadap pendengar. Kerana mereka juga merasakan bahawa kepelbagaian itu sendiri merupakan proses yang harus ada dan penting bagi membentuk pemikiran yang lebih terbuka, kerana reaksi terhadap globalisasi itu sendiri harus ditanggapi dengan cermat oleh kita sendiri agar tidak mudah tersadung menjadi terlalu defensif dan juga terlalu ekstrem meraikan sesuatu nilai yang terasing daripada konteks negara kita.

Secara tidak langsung nada yang dilahirkan oleh mereka mewakili ruang emosi yang jarang dihargai oleh kebanyakkan pendengar, melalui nada melankolik yang agresif mereka merempuh kategori konvensional yang ada di negara kita. Tergolong bersama kugiran instrumental yang lain (Damn Dirty Apes, Deepset, Moi Last Von, Citizens Of Ice Cream, M.U.Z.E, Nao), mereka membuka ruang yang jarang benar diterokai oleh pemain muzik yang lain iaitu gabungan diantara gaya instrumental dan unsur-unsur nada yang diadun secara halus. Walaupun mereka dapat dilihat sebagai pelopor nada yang jarang didengari, mereka tidak langsung berniat untuk membawa imej yang elitis, kerana seperti mana-mana penggiat muzik yang ada, proses mempelbagaikan pilihan muzik itulah yang tetap diutamakan oleh mereka.

Jadi, adakah kelompok pemain instrumental ini terpinggir di dalam arena muzik kita? Adakah mereka secara sedar untuk bersetuju dengan posisi yang dibawa oleh mereka? Barangkali persoalan itu adalah persoalan yang tidak langsung dipikirkan oleh mereka, kerana jika itu yang seringkali timbul di kepala mereka, lantas bagaimana mereka dapat menghasilkan karya-karya yang bersendikan genre instrumental? Yang pastinya bagi mereka ataupun sesiapa sahaja yang berusaha dengan semangat zamannya yang tersendiri, menghasilkan muzik sebagai asas luahan citra manusia yang terpendam, dan berharap agar nada dan getarannya dapat disalurkan, diterima, dan diluahkan semula kepada pendengar yang baru. Langsung ianya menjadi proses yang tidak tentu dan kemungkinan besar tidak akan berakhir.

Dengan berlalunya masa, idea ataupun nada yang telah terhasil bakal membawa peranan seakan batu yang dicampakkan ke dalam kolam, menghasilkan gelombang yang mempengaruhi jiwa-jiwa yang lain. Dan apa yang jelas bagi mereka, genre sebegini bakal berkembang dan berdiri dengan lebih kukuh di sini. Kerana kepelbagaian itu adalah nilai utama manusia, yang harus dibangunkan kembali untuk melawan tatanan yang telah lama mengongkong anak-anak muda di sini.

* Kugiran Reset To Zilch bakal melancarkan album pertama mereka di Blackbox, Damansara Performing Art Centre (DPAC) pada 24hb Januari 2015. Turut disertai oleh Dirgahayu, M.U.Z.E (Man Under Zero Effort) dan Khottal.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: