Music

“Belantara Konkrit”: Altimet, Salam & Aman-Ra ‘Cakap Terang’ Dalam MV Terbaru

Dari kiri: Salam, Altimet dan Aman-Ra.

Tiga tahun wujud sebagai idea dan dua bulan untuk dirakam, “Belantara Konkrit” walaupun sudah melakukan gegaran asalnya di radio dan di atas talian pada bulan September tempoh hari, kini dilancarkan rasmi oleh pengarang utamanya Altimet di kompleks syarikat pengedar dan promosi, Sony Music, awal minggu ini. Bersempena juga harijadi ke-36 tukang karut kegemaran ramai ini, sebenarnya muzik video arahan Hafiz dari studio Schizomotion (yang menghasilkan MV “Bangkit” sebelum ini) menjadi tumpuan kali ini.

Trek ciptaan Salam bersama Emir dari The Shakes yang menggabungkan Altimet bersama rakan se-Kartel Records beliau, Salam dan Aman-Ra itu bertempo agak slow dan bahaya, dengan vibe yang suram, sementara senikatanya pula dikatakan sinis malah sedikit “kurang ajar” atau pahit diterima oleh majoriti media hiburan dan pemerhati am arus perdana.

Altimet memperbetulkan tanggapan ini sedikit, menerangkan bahawa lagu ini “gelap” dan dihasilkan untuk “melawan” tenaga positif dan memancar single sebelumnya iaitu “Kotarayaku”. “Belantara Konkrit” dari album yang sama (‘Kotarayaku’) seperti membawamood dan perspektif kehidupan di ibukota yang bertentangan dengan keluaran-keluaran bernada pop Altimet sebelum ini.

“Saya dan Salam sememangnya ada kemistri kerana sudah masuk lagu ketiga kolaborasi, dan Aman-Ra pula antara bakat yang paling tidak boleh dinafikan pada masa ini – dia membawa sesuatu yang baru,” ujar Altimet. Isi lagu ini pula dikaitkan dengan imej superfisial kota metropolitan Lembah Klang yang menurut Altimet, “indah dipandang dari jauh, tetapi kadang-kadang tidak selawa mana dilihat dengan jarak yang dekat atau seperti yang diiklankan”.

Apakah Keistimewaan Hip Hop? “Kejujuran” – Altimet

Mengenai isi yang didakwa sinis itu pula, Altimet mudah sahaja menerangkan: “Saya rasa saya memang cakap terang, bukannya kurang ajar, dalam lagu ini. Itu keistimewaan hip hop berbanding dengan rock, contohnya, di mana mereka memakai selekeh walaupun mereka memang banyak duit. Dengan hip hop kita memang jelas.”

Komennya menarik kerana kini, nampak semakin ketara pemusingan peranan hip hop dan rock khususnya dalam “bercakap terang” tidak mengira sesiapa yang memberi perhatian. Lebih-lebih lagi di sini, semakin terbalik peranan kedua-dua “sekolah” muzik tersebut di kala ini.

Bila disapa tentang arahtuju muziknya sekadar merumuskan titik kariernya yang terkini, Altimet berkongsi bahawa beliau lebih ingin ke arah menjadi seorang pencerita dalam lirik-liriknya berbanding ahli rap yang handal memusingkan kata dan flow secara freestylespontan. Dalam konteks seperti yang digambarkan dalam jalan cerita “Belantara”, metafora hutan dan haiwan penghuni hutan menjadi contoh penceritaan yang diinginkan Altimet sekarang.

Penceritaan Lebih Utama Dari Skil Spontan

“Saya sudah melalui semua itu (freestyle, cypher, rap battle dan sebagainya) dan saya jujur lebih minat untuk menulis lirik yang menyampaikan cerita,” terang Altimet yang kebetulan segar sahaja pulang dari jelajah enam minggu merentas Amerika bersama rakan-rakannya dalam kolektif muzik tempatan, Diplomats Of Drum.

Sambungan dari bicara identiti dan kejujuran dalam penampilan muzik di atas, Altimet mengakui lagi: “Memang ada (‘haters’) yang pernah menegur bahawa saya terlalu lantang, tapi saya memang pilih untuk menjadi artis yang sebegini. Ada artis yang diplomatik, ada yang bertopeng, tapi untuk kita dengan hip hop susah untuk ‘fake’ sebab orang akan tahu, orang akan dapat kesan. Kita beritahu apa yang kita nampak.”

Dengan “Belantara Konkrit” ini, Altimet, Salam dan Aman-Ra sepakat memberikan sesuatu yang, kata Altimet, “berbaloi dan bermakna”, dan bukannya sesuatu yang “senang”.

Lirik lagu ini telah turut dipaparkan oleh laman antarabangsa seperti Rock Genius di bawah kategori Rap, dan video “Belantara Konkrit” produksi Schizomotion ini boleh dihayati melalui pautan ke senaraiputar Dailyseni MV Picks di bawah:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

<span>%d</span> bloggers like this: